KLANG: Istiadat Persandingan Diraja Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dengan pasangan baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berlangsung penuh adat dan tradisi di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Pasangan diraja berangkat masuk pada pukul 7.45 malam dengan mengenakan busana kain telepuk berwarna gading sambil diiringi kerabat-kerabat diraja Selangor ke dalam Balairung Seri.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan memulakan istiadat merenjis air mawar dan menabur bunga rampai kepada pasangan pengantin diraja dan diikuti bonda Tengku Amir, Puan Nurlisa Idris Abdullah serta empat kerabat diraja lain.
Kedua ibu bapa Afzaa Fadini turut menyertai istiadat merenjis sebelum penyempurnaan majlis dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir.
Pasangan pengantin diraja kemudian berangkat keluar dari Balairung Seri pada pukul 8.15 malam, diikuti Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor ke santapan diraja di Balai Santapan Diraja.
Antara tetamu kenamaan yang hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai kanan kerajaan, serta jemputan kehormat lain.
Tengku Amir Shah dan Afzaa Fadini selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah pada 2 Okt lalu, pada pukul 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli tembakan 11 das meriam oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja. – UTUSAN










