Muhammad Adib: Isu kuasa Mahkamah Koroner mulakan komital diputuskan 8 Feb. - Utusan Malaysia

Muhammad Adib: Isu kuasa Mahkamah Koroner mulakan komital diputuskan 8 Feb.

MUHAMMAD ADIB MOHD. KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu sama ada Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa mengeluarkan perintah komital terhadap bekas Peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas ketika inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim dijalankan akan diputuskan pada 8 Februari ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Suraya Othman yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada peguam, Haniff Khatri Abdullah yang mewakili bapa anggota bomba itu, Mohd. Kassim Abdul Hamid dan Datuk S. Ambiga yang mewakili Tommy.

“Isu yang ditimbulkan hari ini adalah penting, jadi kami memerlukan masa sebelum membuat sebarang keputusan. Mahkamah perlu melihat sama ada kes-kes rujukan dari England boleh diguna pakai oleh mahkamah rendah di negara ini. Sebarang keputusan yang dibuat boleh menjadi ikutan (precedent) pada masa hadapan,” katanya.

Dalam permohonan komital, Mohd Kassim, 68, mendakwa Tommy membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 3 April 2019 berhubung punca kematian anaknya.

Pada 26 Ogos 2019, Mahkamah Koroner membenarkan permohonan itu atas alasan wujudnya prima facie atas imbangan kebarangkalian bagaimanapun pada 25 November 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Tommy untuk membatalkan perintah tersebut.

Terdahulu, ketika berhujah, Haniff Khatri menyatakan Mahkamah Koroner mempunyai kuasa untuk memulakan prosiding komital sebagaimana tertakluk dalam Perenggan 26, Jadual Ketiga, Akta Mahkamah Rendah 1948.

“Walaupun kuasa dalam menjatuhkan hukuman adalah terhad, namun Mahkamah Koroner masih mempunyai kuasa untuk memulakan prosiding komital tidak kira sama ada kesalahan menghina mahkamah itu berlaku di hadapan Majistret atau Hakim atau selepas menerima aduan berhubung perkara tersebut,” kata Haniff Khatri.

Sementara itu, Ambiga dalam hujahannya menyatakan, Mahkamah Koroner terkhilaf apabila membenarkan permohonan bapa anggota bomba itu.

“Pihak kami bersetuju dengan hujah pemohon bahawa Mahkamah Koroner mempunyai kuasa yang terhad dalam menjatuhkan hukuman tetapi setiap kesalahan itu mestilah sesuatu yang berlaku di depan mata dan hukuman perlu dijatuhkan serta-merta,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara akibat kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.