KUCHING: Ibu kepada bayi lelaki yang diletakkan di Baby Hatch Pusat Perubatan Borneo (BMC) pada 15 Jun lalu diberi peluang sebulan sekiranya ingin menuntut kembali anaknya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ketika ini, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching (PKMB) sedang mengesan wanita berkenaan sebahagian daripada prosedur standard Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bukan bertujuan untuk menghukum atau mendedahkannya.
“Sekiranya tiada tuntutan dibuat dalam tempoh itu, JKM akan mengambil alih penjagaan dan menguruskan pendaftaran kelahiran bayi dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Walaupun tanpa maklumat ibu bapa, sijil kelahiran boleh dikeluarkan namun ruangan nama ibu dalam sijil berkenaan akan dinyatakan sebagai “Tiada Maklumat”, bayi mungkin berstatus “Belum Ditentukan” dari segi kewarganegaraan.
“Jika bayi tiada kewarganegaraan Malaysia, proses pengangkatan menjadi lebih rumit, memerlukan perintah mahkamah dan tempoh penjagaan selama dua tahun,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Beliau menambah, sekiranya bayi tersebut akhirnya diambil sebagai anak angkat oleh pasangan yang layak, permohonan kewarganegaraan boleh dikemukakan di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan.
Namun, katanya jika ibu kandung tampil membantu dalam proses pendaftaran kelahiran dan bayi disahkan warganegara, maka proses pengangkatan lebih mudah dan boleh dilakukan secara rasmi di hadapan Pegawai Daerah.
“Segala usaha ini dibuat demi kepentingan terbaik anak, demi memastikan hak mereka dilindungi dan peluang masa depan mereka terbela serta dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, stabil serta penuh kasih sayang,” katanya.
Sementara itu, Fatimah berkata fasiliti Baby Hatch di bandaraya ini telah menyelamatkan seramai tujuh bayi setakat ini, yang secara tidak langsung menangani isu pembuangan bayi.
Katanya bayi terbaharu yang diselamatkan adalah bayi lelaki pada 15 Jun lalu, yang diletakkan di Baby Hatch BMC.
Ia selepas seorang bayi perempuan juga diselamatkan pada 24 Mac tahun lepas melalui Baby Hatch BMC yang dilancarkan pada 4 Oktober 2023, sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang selari dengan usaha Kerajaan Sarawak bagi menangani isu pembuangan bayi dan kehamilan luar nikah.
Menurut Fatimah, kemudahan Baby Hatch pertama di Sarawak telah diwujudkan oleh Hospital Pakar KPJ Kuching dan dirasmikan pada 20 Januari 2017.
Katanya sepanjang tempoh operasinya, Baby Hatch tersebut telah menyelamatkan lima orang bayi iaitu empat bayi diselamatkan dalam keadaan hidup manakala seorang bayi ditemui telah meninggal dunia.
Namun demikian, beliau berkata apabila KPJ Kuching berpindah ke bangunan baharu pada tahun 2020, perkhidmatan itu telah ditangguhkan buat sementara waktu, dengan pihak pengurusan hospital masih meneliti lokasi baharu yang sesuai dari sudut teknikal, keselamatan dan kerahsiaan sebelum ia dapat diaktifkan semula.-UTUSAN











