Muda: Kita siasat secara adil - Polis Johor - Utusan Malaysia

Muda: Kita siasat secara adil – Polis Johor

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor akan melakukan siasatan terhadap parti politik yang didakwa melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Segamat.

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan akan dijalankan untuk memastikan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau sebaliknya.

“Terdapat laporan yang telah diterima oleh polis Johor terhadap sebuah parti politik yang dikaitkan dengan perkara ini. Kita tidak beranggapan bahawa mana-mana sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik yang memberi bantuan adalah melakukan kesalahan undang-undang.

“(Tetapi) Pihak polis akan melakukan siasatan mengikut peruntukan undang-undang secara adil dan saksama untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa enam sukarelawan Muda disoal siasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di rumah dan pusat pemindahan sementara (PPS).

Syed Saddiq memohon maaf dan mengharapkan budi bicara pihak berkuasa terhadap sukarelawan parti itu yang turun padang memberi bantuan kepada mangsa banjir di Segamat.

Beliau mengambil tanggungjawab penuh di atas kekhilafan anggota sukarelawan Muda yang turun memberi bantuan terus kepada mangsa banjir tanpa melalui prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa daerah, namun menegaskan mempunyai sebab kukuh berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, pihaknya juga telah meneliti satu sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh seorang ahli politik baru-baru ini di negeri ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, katanya, ahli politik berkenaan telah menyentuh isu berkaitan pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Segamat.

“Kerajaan Negeri Johor melalui pejabat-pejabat daerah telah mengeluarkan tatacara, SOP dan peraturan bagi tujuan penyelarasan dan keselamatan demi kebaikan semua pihak yang terlibat.

“Justeru, jika terdapat laporan polis yang diterima, maka menjadi tanggungjawab polis Johor untuk menjalankan siasatan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara sebelum pertuduhan dibuat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang penjawat awam. Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara hingga enam bulan, atau dengan denda hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian seperti media sosial dan platform lain untuk melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN