MoU amah Indonesia bakal dimeterai bulan depan - Utusan Malaysia

MoU amah Indonesia bakal dimeterai bulan depan

M. SARAVANAN dan Adham Baba menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Perkeso dengan YIM di Menara Perkeso, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia bakal memeterai memorandum persefahaman (MoU) baharu mengenai isu pengambilan pembantu rumah dari republik itu pada awal bulan depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan ketika mengesahkannya berkata, MoU baharu itu akan berlangsung di Indonesia dengan tarikh ditetapkan 7 atau 8 Februari ini.

“Bagaimanapun, sebelum MoU itu dimeterai, ada beberapa isu berbangkit perlu diselesaikan antaranya status pelancong Indonesia ketika ini yang boleh diubah sebagai amah,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) yang turut dihadiri Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba di Menara Perkeso di sini hari ini.

Malaysia membekukan pengambilan pembantu rumah dari Indonesia sejak awal 2020 ekoran penutupan sempadan yang disebabkan isu kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Dianggarkan Malaysia memerlukan 10,000 amah dari negara jiran tersebut, selain sejumlah 32,000 pekerja sektor perladangan Indonesia yang akan melibatkan MoU berbeza.

Saravanan berkata, kerajaan republik itu menangguhkan pemeteraian MoU yang sepatutnya ditandatangani secara rasmi antara kedua-dua negara pada akhir bulan lalu.

“Pemerintah Indonesia anggap tindakan Malaysia membenarkan pelancong negaranya yang kemudian boleh bertukar status menjadi amah sebagai satu bentuk buruh paksa. Justeru, kita akan membawa perkara ini kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin termasuk membincangkan usaha pengurangan kos bagi pengambilan pekerja asing,” katanya.

Ketika ini kedua-dua negara masih lagi memuktamadkan kos itu kerana pendekatan Malaysia ialah untuk mengawal harga yang dianggarkan antara RM10,000 hingga RM15,000 seorang termasuk sekitar RM3,000 bagi kos kuarantin selama tujuh hingga 14 hari bagi memastikan pembantu rumah dibawa masuk itu bebas daripada wabak Covid-19 termasuk varian baharu.

Sehubungan itu, Saravanan menafikan laporan media tertentu yang mendakwa kononnya kos bagi setiap pekerja asing mungkin boleh mencecah RM25,000 susulan banyak caj tambahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN