Mohd. Na'im saman Lokman Adam RM30 juta - Utusan Malaysia

Mohd. Na’im saman Lokman Adam RM30 juta

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar  memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM30 juta terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seseorang yang bergelar Datin.

Saman tersebut difailkan pada Isnin lalu melalui firma guaman, Tetuan Akberdin & Co. di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini. Sesalinan dokumen terbabit diperoleh media melalui carian fail mahkamah.

Turut difailkan bersama-sama writ saman tersebut ialah permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) terhadap Lokman.

Menurut semakan di sistem kehakiman mahkamah, permohonan injunksi tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff esok (20 Januari) manakala kes saman fitnah itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Februari ini.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan, Mohd. Na’im selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa defendan, Lokman telah membuat dua siaran langsung mengandungi kenyataan berbaur fitnah di laman sosial Facebook miliknya pada 10 dan 13 Januari lalu.

Rakaman rakaman kedua-dua siaran langsung itu kemudian telah dimuat naik ke laman Youtube milik defendan.

Defendan juga telah memuat naik tiga lagi hantaran di laman Facebook miliknya di antara 11 dan 13 Januari lalu.

Menurut plaintif, berdasarkan hantaran (posting) yang dibuat oleh defendan, Lokman antara lain telah menggambarkan Mohd. Na’im telah membuat gangguan seksual ke atas beberapa wanita termasuk seseorang bergelar Datin, tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie, mempunyai akhlak yang buruk dan menyebabkan negara dilanda musibah.

Hantaran-hantaran tersebut juga didakwa menyebabkan kredibiliti, maruah dan reputasi Mohd. Na’im terjejas serta mengundang kecaman dan kebencian daripada orang awam yang melihat rakaman dan membaca hantaran tersebut membuat andaian.

LOKMAN NOOR ADAM

Oleh itu, plaintif memohon satu perintah agar defendan memadamkan kesemua hantaran yang dibuat di Facebook dan Youtube serta perintah injunksi bagi menghalang Lokman atau ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa jua cara sekalipun.

Mohd. Na’im turut menuntut agar Lokman membuat permohonan maaf terhadap plaintif dan akan disiarkan ke laman-laman sosial milik defendan dan juga portal berita serta media tempatan.

Plaintig juga memohoan satu ganti rugi am yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing sebanyak RM10 juta berserta faedah sebanyak lima peratus atas jumlah ganti rugi bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya