LONDON: Seorang lelaki dihukum penjara di United Kingdom (UK) selepas rakaman menunjukkan dia melepaskan tikus liar di luar sebuah masjid di bandar Sheffield, lapor The Independent pada Khamis.
Edmund Fowler, 66, dirakam melepaskan tikus dari belakang keretanya di luar Masjid Besar Sheffield.
Rakaman menunjukkan tikus-tikus tersebut berlari masuk melalui pagar ke kawasan masjid berkenaan.
Tindakan itu dilakukan Fowler sebanyak tiga kali lagi antara Mei dan Jun sebelum dikenakan pertuduhan.
Lelaki itu mengaku bersalah bagi empat pertuduhan gangguan berunsur perkauman di Mahkamah Majistret Sheffield.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan dan melarang Fowler daripada mendekati mana-mana masjid selama 18 bulan lagi selepas dibebaskan kelak.
Pengurus masjid dalam satu kenyataan berkata, ahli komuniti kini berasa takut terhadap gangguan seterusnya dan ramai yang tidak lagi berani datang ke masjid.









