PETALING JAYA: Pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu disifatkan sebagai pilihan tepat bagi menerajui badan kehakiman tertinggi negara.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, Wan Ahmad Farid merupakan individu yang mempunyai ciri-ciri seorang hakim sempurna serta berpengetahuan luas dalam bidang perundangan dan pentadbiran kerajaan.
“Beliau adalah bekas peguambela dan peguamcara dengan pengetahuan undang-undang yang mendalam serta pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.
“Kombinasi pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan memberi nilai tambah dalam menerajui badan kehakiman negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Seri Paduka juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan bagi menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bakal bersara.
Mengulas pelantikan Abu Bakar dan Azizah Nawawi, Yaacob berkata, pelantikan itu melengkapkan struktur kepimpinan tertinggi badan kehakiman dan diyakini akan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti.
“Saya berharap pengisian jawatan penting dalam badan kehakiman tidak lagi tertangguh pada masa hadapan bagi memastikan kelangsungan dan integriti institusi itu.
“Selain itu, saya mengharapkan isu sedemikian tidak berulang dalam memelihara integriti badan kehakiman yang perlu sentiasa dilihat bebas, telus dan berwibawa,” katanya.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif berkata, pengalaman luas dan latar belakang pelbagai yang dimiliki Wan Ahmad Farid membuktikan beliau mampu memikul amanah besar sebagai Ketua Hakim Negara.
“Saya percaya dengan latar belakang serta pengalaman beliau yang pelbagai, beliau lebih daripada layak untuk memikul tanggungjawab besar menerajui institusi kehakiman negara.
“Saya yakin ketiga-tiga hakim ini akan dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan penuh profesionalisme serta komitmen tinggi,” ujarnya.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, institusi kehakiman negara terus cemerlang di bawah kepimpinan Wan Ahmad Farid terutama dengan pengalaman luas yang dimiliki dalam bidang perundangan.
Katanya, pengalaman sebagai pengamal undang-undang, Pesuruhjaya Kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi dan Hakim Mahkamah Rayuan akan membolehkannya membawa pembaharuan dalam sistem kehakiman negara.
“Kita berharap institusi kehakiman akan menjadi lebih cemerlang dan terus menjalankan fungsinya mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan,” katanya.-UTUSAN











