KUALA TERENGGANU: Selepas digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali tampil bersuara mengenai kewajipan mengukuhkan perpaduan Muafakat Nasional (MN).
Mohd. Khairuddin berkata, kerjasama MN yang terjalin antara Pas dan UMNO sejak 14 September 2019 terbukti berjaya mendamaikan kelompok orang Melayu-Islam yang berperang lebih 41 tahun angkara politik.
Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab kalangan pemimpin untuk memperkasakannya di samping menyuburkan perpaduan tersebut, dengan hukumnya adalah wajib dan bukannya sunat.
“Ramai yang menangis kesyukuran kerana perpaduan ini.
“Ia bukan isu perpaduan pemimpin kerana walaupun bergaduh masih boleh duduk semeja makan dan minum, senyum dan tawa tetapi ia melibatkan hubungan ahli marhain yang lurus dan tulus dengan parti masing-masing,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.
Mohd. Khairuddin berkata, golongan yang cuba merobohkan perpaduan Pas-UMNO adalah mereka yang berkepentingan peribadi dan bernafsu duniawi, bukan demi kepentingan umat.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan, pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam parti itu sama ada diberhenti atau ditukarkan.
Pada 23 November lalu, Mohd. Khairuddin antara tiga pemimpin tertinggi Pas yang dilantik semula sebagai AJK bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz. – UTUSAN ONLINE