LOS ANGELES: “Dia bahagia dan berpuas hati dengan kehidupannya sekarang.”
Demikian kata sumber terdekat kepada portal People mengenai Jenifer Lopez yang kini hidup solo.
Penghibur dengan nama pentas Jlo itu bebas digosipkan dengan mana-mana lelaki selepas secara rasmi berpisah dengan pelakon Ben Affleck awal tahun ini.
“Tumpuannya hanya kepada kerja dan anak-anak,” kata sumber berkenaan.
Jenifer menerusi satu wawancara Oktober lepas mengakui teruja menjalani kehidupan solo.
“Selepas 30 tahun, saya tidak lagi mencari cinta. Saya juga mahu merasa hidup sendirian, bebas,” katanya.
Ibu dua cahaya mata itu pada Ogos 2024 memfailkan perceraian terhadap Affleck. Mereka berpisah secara rasmi pada Januari tahun ini.
Sebelum itu, keduanya pernah mengikat tali pertunangan pada 2002, namun berpisah pada 2004.
Penghibur terkenal itu juga pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Marc Anthony pada 2004. Mereka dikurniakan cahaya mata kembar, Maximilian David Muniz dan Emme Maribel Muniz.
Namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama 10 tahun. – UTUSAN











