Melaka terima pelaburan RM1 bilion kereta elektrik - Utusan Malaysia

Melaka terima pelaburan RM1 bilion kereta elektrik

AB. Rauf Yusoh (kiri) dan Sulaiman Md. Ali mencuba memandu kereta elektrik hasil teknologi Changan Automobile Corporation di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan menerima suntikan pelaburan RM1 bilion hasil usahasama dengan sebuah syarikat bumiputera, Fiedlman Sdn. Bhd. bagi membina kilang pemasangan kereta elektrik di Lipat Kajang, Jasin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, melalui pelaburan tersebut, ia bakal memberi manfaat jangka panjang dalam industri automotif, mewujudkan industri hiliran serta pemindahan teknologi kereta elektrik di negeri ini.

Menurut beliau, hasil usahasama itu juga bakal membuka sebanyak 5,000 peluang pekerjaan untuk penduduk Melaka.

Beliau berkata, anak syarikat terlibat iaitu Fieldman EV Sdn. Bhd. (FEV) berjaya mendapat hak eksklusif pengedaran kereta elektrik di Malaysia dan pasaran ASEAN bagi pemanduan sebelah kanan.

Jelasnya, FEV berjaya menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat automotif terkemuka dari China iaitu Changan Automobile Corporation (Changan).

“Syarikat FEV berhasrat melancarkan kereta elektrik serta berminat untuk membina kilang pemasangan di negeri ini, bersama syarikat-syarikat tempatan dengan bantuan teknologi syarikat Changan.

“Justeru, melalui pelaburan RM1 bilion, kerajaan negeri menyediakan tapak pemasangan kilang di Lipat Kajang, Jasin di kawasan seluas 202 hektar,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan dua buah kereta elektrik dan sebuah beca elektrik daripada Pengarah Eksekutif FEV, Razmi Shah Othman.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, FEV telah membuat pelan jangka panjang untuk tempoh tujuh tahun bermula dari 2018 hingga 2026.

Menurutnya, dari segi teknologi kenderaan elektrik, Changan merupakan antara empat pembuat kereta terbesar di China.

Jelasnya, kapasiti pengeluaran kereta syarikat itu dilaporkan sebanyak  dua hingga 2.5 juta unit setahun secara purata.

“Changan juga telah mengeluarkan rancangan untuk melancarkan 21 buah kereta elektrik lagi bagi tempoh 2021 hingga 2025.

“Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diberi tanggungjawab untuk membuat kajian beca elektrik yang dibangunkan oleh Changan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya