Pasar pagi sepanjang 2.3KM tarikan pelancong di Selama - Utusan Malaysia

Pasar pagi sepanjang 2.3KM tarikan pelancong di Selama

LOH Sze Yee ketika melawat Pasar Pagi Jumaat Sungai Bayor di Selama hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Kerajaan Perak telah menyalurkan RM4.55 juta bagi memperkukuh pembangunan sektor pelancongan di Daerah Selama termasuk Pasar Pagi Jumaat Sungai Bayor di sini yang kini tarikan utama pelancong ke sini.

Jawatankuasa Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, pasar tersebut yang diiktiraf Buku Rekod Malaysia (MBOR) pada September 2025 sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia dengan jarak 2.32 kilometer, kini menempatkan kira-kira 500 gerai dan beroperasi setiap hari Jumaat.

Menurut beliau, daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM250,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan termasuk pembinaan kemudahan asas seperti tandas awam.

Katanya, kira-kira RM3.5 juta lagi diperuntukkan bagi naik taraf kawasan pelancongan berhampiran seperti Lata Air Putih.

“Kerajaan negeri bersama Persekutuan sedang giat membangunkan sektor pelancongan di Selama yang mempunyai banyak lokasi menarik serta masih mengekalkan keaslian suasana kampung,” katanya,

Beliau ditemui pemberita ketika melawat Pasar Pagi Sungai Bayor, di sini hari ini.

Beliau berkata, antara pendekatan yang dilaksanakan di pasar itu ialah pembinaan pintu gerbang dan arca bagi mengekalkan identiti asal kawasan pasar tersebut.

“Terdapat keperluan kemudahan moden seperti tandas awam yang sedang disediakan secara sementara memandangkan jumlah pengunjung setiap hari Jumaat dianggarkan antara 3,000 hingga 5,000 orang,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Selama, Nor Akmal Yang Ghazali berkata, pengiktirafan MBOR menjadi pencetus kepada usaha memperkukuh daya tarikan Pasar Pagi Sungai Bayor sebagai produk pelancongan berimpak tinggi.

“Dalam era digital, kita perlukan elemen ‘wow factor’ untuk menarik perhatian. Apabila ia menjadi tular, secara tidak langsung ia membantu mempromosikan Selama ke peringkat lebih luas.

“Bila ramai pengunjung datang, limpahan ekonomi akan dirasai oleh semua termasuk peniaga kecil, pengusaha makanan dan pengusaha homestay,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN