MBI tawar 945 lot niaga, 19 lokasi Bazar Ramadan tahun ini - Utusan Malaysia

MBI tawar 945 lot niaga, 19 lokasi Bazar Ramadan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 945 lot petak niaga di 19 lokasi Bazar Ramadan ditawarkanMajlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk peniaga sepanjang Ramadan tahun ini.

Bilangan itu menunjukkan pengurangan sebanyak 120 lot petak niaga berbanding 1,065 lot petak niaga di 25 lokasi Bazar Ramadan yang ditawarkan tahun lalu.

MBI dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, lot tapak niaga terbanyak ditawarkan di lokasi Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Perak dan Taman Perpaduan iaitu masing-masing sebanyak 110 lot tapak niaga.

Sementara, lot tapak niaga paling sedikit iaitu masing-masing 25 lot tapak niaga ditawarkan di empat lokasi Bazar Ramadan iaitu di Taman Temara, Taman Klebang Jaya, Taman Chepor Indah dan Bandar Seri Botani.

Sehubungan itu, MBI mempelawa mana-mana persatuan atau kelab penjaja, agensi swasta, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Masjid dan Surau untuk memohon menjadi penganjur kepada Bazar Ramadan tersebut.

“Permohonan dibuka mulai 17 Januari depan dan perlu dihantar kepada MBI selewat-lewatnya pukul 12 tengah hari 28 Januari,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjuran Bazar Ramadan yang bermula 3 April hingga 2 Mei itu harus mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan dengan kadar maksimum yang boleh dikenakan oleh penganjur kepada peniaga adalah RM750.

MBI turut mengenakan beberapa syarat yang harus dipatuhi seperti warga asing dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dilarang bekerja, membantu atau mengendali makanan atau produk jualan di tapak Bazar Ramadan.

SENARAI BAZAR RAMADAN 2022 MBI

* Medan Gopeng (60 petak)

* Pekarangan Stadium Perak (110)

* Taman Jati (60)

* Taman Perpaduan (110)

* Taman Silibin (60)

* Taman Tasek Indera (60)

* Rapat Setia (30)

* Halaman Meru Permai (35)

* Pekan Chemor (50)

* Desa Aman (60)

* Taman Cempaka (40)

* Taman Tanjung Perdana (50)

* Chandan Desa Simpang Pulai  (30)

* Taman Temara (25)

* Taman Klebang Jaya (25)

* Taman Chepor Indah (25)

* Taman Ipoh Jaya (30)

* Bandar Seri Botani (25)

* Taman Bercham Raya (60)

– UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN