KUALA NERUS: Mayat reput tanpa beberapa anggota badan termasuk kepala, tangan dan betis ditemukan terdampar di Pantai Seberang Takir di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, penemuan mayat yang tidak dikenal pasti jantina itu disedari oleh pekerja pembersihan kira-kira pukul 12 tengah hari.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih dilakukan dan orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan polis untuk proses pengecaman,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Abdul Rahim berkata, penemuan itu merupakan yang kedua di daerah ini selepas satu mayat reput ditemukan terdampar di Pantai Mengabang Panjang pada 3 Januari lalu.