Maszlee dakwa siasatan SPRM satu bentuk intimidasi

Maszlee dakwa siasatan SPRM satu bentuk ugutan

MAZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya dan beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam sebagai satu bentuk ugutan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau difahamkan bahawa SPRM turut menyoal siasat beberapa pegawai di Kementerian Pendidikan yang didakwanya sebagai usaha untuk mencari kesalahan terhadap dirinya.

“Saya perlu bawa kepada perhatian umum dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa saya sedang diintimidasi oleh pegawai SPRM di Simpang Renggam. Untuk apakah ini?

“Mereka juga melakukan intimidasi terhadap orang yang pernah membantu saya. Pegawai SPRM telah datang untuk cari kesilapan yang kecil untuk dikaitkan.” katanya selepas hadir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Maszlee hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di bangunan Parlimen di sini 20 Januari lalu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memberitahu media lebih ramai Ahli Parlimen akan dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung penyerahan memorandum tersebut.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata beliau tidak menyangka bahawa tindakannya yang sekadar hadir semasa penyerahan memorandum tersebut mengakibatkan dirinya dipanggil pihak polis untuk disoal siasat.

“Sebagai wakil rakyat saya telah turun untuk mendengar keluh kesah yang mereka suarakan dan kita tidak tahu pula bahawa orang yang menyasikan penyerahan memo rakyat kepada Ahli Parlimen juga akan disoal siasat.

“Persoalan kita adalah mengapa subjek yang disebut itu sehingga kini adakah sudah disoal siasat?,” soalnya.

Pada masa sama, beliau turut mengajukan persoalan kepada pihak KDN dan Perdana Menteri siapa yang sebenarnya bersalah dalam hal tersebut orang yang melapor atau orang yang dilaporkan.

“Persoalan saya kepada KDN dan Perdana Menteri siapa yang bersalah? Siapa yang perlu disiasat?

“Adakah orang yang melapor, orang yang dilapor atau orang yang menyaksikan orang yang melapor?” Katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×