Maritim gagalkan cubaan seludup kayu nibong - Utusan Malaysia

Maritim gagalkan cubaan seludup kayu nibong

ANGGOTA Maritim Zon Tawau merampas kayu nibong yang ditemukan terapung di Sungai Inderasabah, Tawau semalam. - IHSAN MARITIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Cubaan menyeludup kayu nibong ke negara jiran berjaya dipatahkan susulan rampasan kira-kira 100 batang kayu itu di muara Sungai Inderasabah semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, longgokan kayu nibong itu ditemukan terapung tanpa pengawasan kira-kira pukul 8.30 malam.

Beliau berkata, longgokan kayu itu ditemukan semasa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau melakukan rondaan Op Sejahtera di sekitar perairan Inderasabah.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati lima longgokan diikat dengan 20 batang kayu nibong pelbagai saiz dan jumlah kesemua kayu yang ditemukan kira-kira 100 batang dianggarkan bernilai RM15,000.

“Kesemua kayu nibong dirampas dan ditarik ke muara Sungai Inderasabah kerana disyaki telah melanggar Enakmen Hutan 1968.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan negeri Sabah cawangan Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan visual serta soal siasat turut dijalankan di sekitar kawasan penemuan dan komuniti maritim berhampiran bagi mengesan pemilik kayu nibong.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang maklumat mengenai pemilik longgokan kayu nibong diperoleh.

“Kita percaya modus operandi penyeludup adalah meninggalkan kayu nibong berhampiran muara sungai bagi mengelak daripada dikesan dan ditahan pihak berkuasa.

“Justeru, Maritim Malaysia akan terus komited dalam memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di zon maritim khususnya Zon Selamat Timur Sabah (Esszone),” katanya.

Menurut beliau, kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

Sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan daerah ini boleh disalurkan ke pusat operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau 999.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya