Mandi pesalah seperti 'jenazah': Masyarakat tidak patut jadi 'hakim' - Azalina  - Utusan Malaysia

Mandi pesalah seperti ‘jenazah’: Masyarakat tidak patut jadi ‘hakim’ – Azalina 

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masyarakat tidak seharusnya bertindak sebagai hakim, pendakwa raya dan pelaksana sabitan terhadap sesuatu kesalahan dilakukan seseorang termasuk memandikan individu seperti ‘jenazah’ disebabkan mencuri tabung masjid. 

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, adalah wajar dan munasabah untuk menghormati proses keadilan serta institusi kehakiman sedia ada berbanding percubaan mentadbirkan keadilan secara peribadi. 

Tegasnya, berdasarkan Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593), tangkapan oleh orang awam hanya boleh dilakukan atas kesalahan yang tidak boleh djamin dan menyerahkan orang yang ditangkap kepada polis. 

“Video yang tersebar di media sosial keterlaluan, membimbangkan dan mengundang lebih banyak kemudaratan khususnya kepada aspek psikologi saudara Daniel (tertuduh) dan keluarganya. 

“Tindakan jemaah masjid yang dipaparkan dalam video tersebut berkemungkinan disiasat di bawah Seksyen 323 serta Seksyen 352 Kanun Keseksaan. 

“Pihak JKPK dengan peringatan prinsip kedaulatan undang-undang ingin meneguhkan, tiada siapa yang terkecuali daripada atau berada di atas undang-undang manakala pemimpin agama adalah tokoh masyarakat yang perlu menunjukkan dan menetapkan teladan yang baik bagi masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kenyataan itu ditulis bersama Ahli parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin; Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang; Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh. 

Isnin lalu, tular sebuah video di laman sosial memaparkan seorang remaja bernama Daniel Iskandar, 19, yang lengkap berpakaian dimandikan seperti ‘jenazah’ selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid.

Remaja berkenaan turut dilumur dengan kapur barus oleh sekumpulan pengurusan masjid sambil diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Sebilangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid dan penduduk kampung sebagai pengajaran kepada remaja terbabit, namun, sebilangan lagi mengecam perbuatan itu kerana mendakwa pihak masjid dan penduduk kampung mengambil tindakan sendiri dengan membelakangi undang-undang. 

Semalam, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 10 hari bermula dari tarikh pertuduhan dan didenda RM4,000 kerana mencuri tabung masjid selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. 

Sebelum hukuman dijatuhkan, Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan turut menegur perbuatannya dan menasihati remaja tersebut supaya insaf dan menjadikannya sebagai pengajaran.

“Tahu apa salah awak? Duit orang bagi (dalam tabung) untuk masyarakat dan pembangunan masjid. Awak curi dan letak dalam bilik jenazah pula. Harap benda ini jadi pengajaran dan kesedaran pada awak,” kata majistret itu. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya