fbpx

Mahasiswa perlu diberi pendedahan dalam pelbagai aspek

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pihak universiti wajar memberi tumpuan mengenai pendedahan berkaitan aspek yang meliputi pengetahuan, kemahiran serta pengalaman terhadap mahasiswa dan mahasiswi supaya mereka benar-benar bersedia apabila memasuki pasaran kerja kelak.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pasaran kerja kini sudah jauh berbeza berbanding pada zaman dahulu. 

Titah baginda, pada masa ini, pasaran kerja tidak hanya tertumpu kepada kelayakan sijil semata-mata sebaliknya turut mengambil kira ilmu pengetahuan dan persediaan yang dilakukan seseorang graduan sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Ketidaktentuan keadaan semasa turut memberi kesan hebat terhadap graduan bagi tahun 2020, 2021 dan 2022. Selain itu, kadar persaingan mendapat pekerjaan juga begitu tinggi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan program Unimap Entrepreneur & Career Talk 2022 yang dianjurkan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam Pauh Putra di sini, semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti tersebut, Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Pada kesempatan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan mengenai kesan Covid-19 yang menyebabkan banyak pengurusan industri dan syarikat terpaksa dilakukan secara dalam talian. 

“Penguasaan kemahiran digital sangat diperlukan. Justeru, para mahasiswa perlu melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran terkini yang akan menjadi kelebihan untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat,” titah baginda. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI