KUALA LUMPUR: Keadaan jambatan di bawah stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar di sini masih lagi terkawal meskipun satu himpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap serta merta bakal diadakan di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, peserta himpunan itu sama ada daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti politik masih belum lagi kelihatan, setakat pukul 9.30 pagi.
Kelihatan beberapa anggota polis ditempatkan di kedua-dua arah bagi mengawal sebarang kemungkinan keadaan.
Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki sebelum ini dijangka mengadakan demonstrasi di jalan raya bermula pukul 11 hari ini bagi menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM itu ditangkap serta-merta.
Jawatankuasa itu turut menuntut supaya proses undang-undang ke atas Azam bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.
Kontroversi membabitkan Azam menjadi pertikaian ramai selepas timbul dakwaan berhubung isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat yang dibangkitkan beberapa agensi media dan portal bebas sejak beberapa bulan lalu. – UTUSAN










