KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 ahli yang didakwa dari Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memohon menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bukan lagi ahli daripada parti berkenaan.
Mereka yang terlibat memang berasal daripada UPKO, namun sudah meninggalkan parti pimpinan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau itu sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pada September 2020.
Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UPKO Kebangsaan, Felix Joseph Saang berkata, beberapa bekas ahli UPKO berkenaan telah menyertai Parti Cinta Sabah (PCS) dan kemudian berpaling tadah kepada PBRS.
“Saya pun sendiri tidak faham kenapa ia dikaitkan lagi dengan UPKO sedangkan, mereka yang keluar parti ini sudah pun keluar parti lama dahulu, jadi, mereka masuk pula ke parti lain. Tapi, apabila keluar parti disebut keluar daripada UPKO.
“Saya tidak tahulah kenapa sebut UPKO lagi, mungkin sahaja hati mereka masih bersama UPKO atau banggalah barang kali sebab parti UPKO kan? Jika mereka mahu menyertai PBRS, itu hak merekalah,” katanya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media pada Isnin lalu, PBRS menerima permohonan lebih 10,000 ahli daripada UPKO dan PCS yang menyaksikan gerakan keluar beramai-ramai itu didalangi oleh bekas Naib Presiden PCS, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing.
Bumburing merupakan bekas ahli Parlimen Tuaran dari UPKO ketika berada dalam Barisan Nasional (BN), namun keluar parti menyertai Pakatan Rakyat. Beliau kemudian menyertai PCS dan dilantik sebagai Timbalan Presiden semasa Perhimpunan Agung Dwitahunan parti pada Julai 2020.
PBRS pula dipimpin oleh Tan Sri Joseph Kurup yang juga bapa kepada ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Mengulas lanjut, Felix berkata keluar masuk parti satu lumrah dan cabaran, tetapi kita juga pernah hadapi cabaran lebih besar daripada ini. Malah parti lain pun ramai juga melompat parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE