Lima ahli kumpulan curi kereta ditangkap - Utusan Malaysia

Lima ahli kumpulan curi kereta ditangkap

IBRAHIM Mat Som (dua dari kiri) menunjukkan bahagian badan kereta yang telah dipotong yang berjaya dirampas dengan tertangkapnya lima lelaki pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kumpulan yang aktif melakukan kegiatan curi kenderaan tumpas selepas lima ahlinya ditangkap polis dalam tiga serbuan berasingan, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, dalam serbuan pukul 7.50 malam itu, kesemua suspek ditahan di sekitar Nusa Bestari, Mutiara Rini dan Taman Ungku Tun Aminah.

“Dalam serbuan itu, kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 61 tahun. Hasil semakan dibuat, empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

“Melalui pengakuan awal suspek, kumpulan curi kenderaan ini telah bergiat aktif sejak dari Jun 2020,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), dekat sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya telefon bimbit pelbagai jenama, alat pemampat (compressor), wayar, mesin pencanai, gergaji elektrik, mesin pemotong, rangka dan enjin kereta, enjin motosikal dan sebuah lori.

Ibrahim berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat seorang warga emas lelaki berusia 80 tahun yang melaporkan kereta Proton Iswara miliknya yang diletakkan di hadapan rumah di Jalan Silat Harimau 7, Bandar Selesa Jaya, Skudai hilang dicuri pada Ogos 2020.

Dengan tertangkapnya suspek ini, katanya, pihak polis berjaya menyelesaikan kira-kira 10 kes curi kereta di sekitar kawasan IPD Iskandar Puteri dan juga IPD Johor Bahru Utara.

“Kami percaya lebih banyak lagi kes dapat diselesaikan selepas soal siasat lebih lanjut dijalankan. Kita akan pohon reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Curi Kereta),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN