Keluarga tentera hilang di Pulau Mataking dibawa ke lokasi hari ini

Keluarga tentera hilang di Pulau Mataking dibawa ke lokasi hari ini

MUHAMMAD Hafizuddeain Jantan pada sidang akhbar selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 203/2025 di Padang Kawad Pusasda, Port Dickson hari ini. UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Keluarga Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, yang dilaporkan hilang ketika sedang bertugas di Pulau Mataking, Semporna, di Sabah, pada 12 September lalu di bawa ke lokasi tersebut hari ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, perkara tersebut susulan permintaan oleh waris dan keluarga anggota tentera itu sendiri dan pihaknya amat menghormatinya

“Sebagai maklumat semua, pihak tentera darat telah membuat lawatan kebajikan kepada waris kedua-dua anggota ini pada 23 dan 24 September lalu. Terbaharu, ada permintaan daripada waris Prebet Muhammad Zulkarnain untuk melihat sendiri tempat kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Permohonan telah disalurkan dan telah diluluskan dan hari ini bapa, ibu tiri dan juga bapa saudara anggota tersebut akan dibawa ke Pulau Mataking untuk melihat sendiri tempat kejadian tersebut.

“Saya tidak boleh komen lebih banyak sebab ini adalah di bawah kawal selia Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) yang berpangkalan di Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 203/2025 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

Media pada 13 September lalu melaporkan anggota tentera, Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di pantai Pulau Mataking manakala Prebet Muhammad Zulkarnain sehingga kini masih belum ditemukan

Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya masih lagi mengikuti secara dekat mengenai kes berkenaan walaupun pencarian secara berpusat oleh semua agensi telah diberhentikan sepenuhnya pada 23 September yang lalu

“Bagaimanapun, usaha-usaha mencari masih lagi kita teruskan melalui rondaan kawasan pengairan secara rutin yang dilaksanakan oleh pasukan yang bertugas,” katanya.

Sementara itu, mengenai kawalan sempadan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama sama ada akan dipertingkatkan susulan dibimbangi kehadiran pengundi hantu, beliau berkata, buat masa ini tiada sebarang keperluan ke arah tersebut.

Menurut beliau, pihaknya terus bertugas untuk menghalang atau menghindar sebarang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan anasir-anasir tertentu serta tidak mengkhusus kepada pengundi hantu.

“Tugas kami adalah untuk menjaga sempadan negara kita daripada sebarang pencerobohan daripada mana-mana pihak. Bagaimanapun kami mengambil pertimbangan ini dan telah mengarahkan kepada semua pihak untuk meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan.

“Kami menjalankan tugas kami untuk menjaga kedaulatan dan kestabilan negara. Tidak seharusnya terbabit dalam sebarang aktiviti politik, kempen atau sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini