Lembu terputus kepala dibaham harimau - Utusan Malaysia

Lembu terputus kepala dibaham harimau

KESAN tapak kaki dipercayai harimau yang ditemukan di kebun Ramli Mohamad di Bukit Rekan Manis di Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang penternak di Kampung Chabang, Kerteh di sini buntu apabila seekor lembunya terputus kepala dipercayai dibaham harimau.

Ramli Mohamad, 62, berkata, kejadian tersebut disedari pada Jumaat lalu ketika dia ke kandang di Bukit Rekan Manis untuk memberi kesemua 25 ekor ternakannya makan.

Katanya, lembu betina berusia lebih setahun itu dikesan hilang dan usaha pencarian menemukan bangkai haiwan berkenaan di kawasan alur sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari kandang.

“Saya terkejut melihat kepala lembu terputus dan rahangnya terkoyak. Di samping itu, saya turut menemukan beberapa kesan tapak kaki dipercayai harimau di sekitar kawasan kandang serta kebun,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ramli yang menternak lembu sejak 2018 berkata, bangkai haiwan itu bagaimanapun hilang keesokan harinya ketika dia ke kandang bersama menantu, Mohd Safwan Mat Pilus, 35.

Dia percaya harimau datang kembali ke kebun pada waktu malam atau awal pagi bagi melarikan bangkai lembu tersebut.

“Malah, ada penduduk memberitahu, mereka terjumpa bangkai lembu saya di kawasan hutan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah  Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya giat melakukan pemantauan dan penilaian di kawasan berkenaan bagi mengambil tindakan susulan.

“Saya minta penternak dan pekebun agar lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling di samping melaporkan segera jika ternakan diserang binatang buas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN