BERUAS: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di pekan Pantai Remis, dekat sini awal pagi tadi.
Mangsa, Lee Cherch Sian, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tubuhnya. Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari Panchor yang terletak di Jalan Pantai Remis-Taiping ke pekan Pantai Remis.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Amir Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.51 pagi memaklumkan terdapat seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu.
“Sehubungan itu, saya bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat sebuah pikap jenis Toyota Hilux melanggar bahagian belakang sebuah treler yang diparkir berhadapan premis Maybank Cawangan Pantai Remis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pihaknya menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang memandu seorang diri. – UTUSAN ONLINE