Pendatang Somalia tidak dialu-alukan di AS - Trump - Utusan Malaysia

Pendatang Somalia tidak dialu-alukan di AS – Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan keras terhadap pendatang Somalia, dengan mendakwa mereka tidak sepatutnya diterima di negara itu.

Kenyataan tersebut dibuat ketika pentadbirannya berdepan skandal besar di Minnesota melibatkan penyelewengan dana perkhidmatan sosial bernilai lebih AS$1 bilion yang dikatakan berpunca daripada isu bil palsu oleh individu keturunan Somalia.

Dalam mesyuarat Kabinet di Rumah Putih, Trump mendakwa Somalia sebuah negara yang gagal dan mempersoalkan sumbangan komuniti Somalia di negara ini.

Beliau turut mengulangi retorik kerasnya dengan menggambarkan negara Afrika itu sebagai “tidak baik” dan menegaskan, “kami tidak mahu mereka di negara ini”.

Trump sebelum ini terkenal dengan sejarah menghina golongan minoriti dan memainkan sentimen kebimbangan terhadap kehilangan kuasa politik masyarakat kulit putih.

Pada mesyuarat sama, beliau mendakwa AS berada di “titik penentu” dan memberi amaran negara itu akan “menghala ke arah salah” jika terus menerima imigran yang digambarkannya sebagai “sampah”.

Trump turut menyasarkan Ahli Kongres Demokrat, Ilhan Omar, wakil Minnesota kelahiran Somalia, dengan menuduh beliau dan penyokongnya “tidak menyumbang apa-apa”.

Omar dalam reaksinya di platform X menyifatkan obsesi Trump terhadap dirinya sebagai “menyeramkan” dan berharap bekas presiden itu mendapat bantuan yang diperlukan.

Ketegangan itu memuncak selepas pentadbiran Trump menamatkan perlindungan daripada pengusiran terhadap rakyat Somalia yang diberikan sejak 1991.

Pada masa sama, pihak pendakwa raya Minnesota sedang menyiasat beberapa penipuan melibatkan dakwaan palsu memberi makan kepada kanak-kanak ketika pandemik Covid-19, kes yang memberi kesan langsung kepada komuniti Somalia di negeri tersebut.

Minnesota, yang lama dikenali sebagai negeri mesra pelarian, kini berdepan tekanan politik tambahan kerana gabenornya, Tim Walz daripada Parti Demokrat, pernah bertanding sebagai calon naib presiden dalam pilihan raya lalu.

Minggu sebelumnya, Trump turut mengarahkan penghentian semua visa untuk warga Afghanistan selepas satu insiden tembakan maut melibatkan seorang pemohon suaka dari negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN