Lelaki berperwatakan wanita lindungi Long Tiger dihukum penjara 5 bulan - Utusan Malaysia

Lelaki berperwatakan wanita lindungi Long Tiger dihukum penjara 5 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pondan dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah atas tuduhan melindungi Long Tiger di rumahnya, Disember lalu.

Tertuduh, Rusli Mat, 47, mengaku bersalah sejurus selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Mahkamah memerintah Rusli yang berperwatakan seorang wanita dan bekerja sendiri menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 28 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah untuk mengelak daripada ditangkap.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.

Mengikut pertuduhan, Rusli didakwa melindungi Abdul Hamim Abd. Hamid, 33, atau dikenali Long Tiger di rumahnya bernombor 854A Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil pada 28 Disember lalu, pukul 3.15 petang.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dengan rela hati memberi kebenaran kepada Abdul Hanim untuk menyembunyikan diri daripada polis sementara menunggu tekong membawanya ke Indonesia.

Tertuduh juga mengetahui Abdul Hamim merupakan individu yang dikehendaki polis kerana melarikan diri daripada tahanan semasa berada di Mahkamah Tangkak, Johor ketika menghadiri perbicaraan kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, pada pukul 10 pagi pada hari yang sama, Rusli telah menerima panggilan daripada Abdul Hanim yang memberitahu mahu menumpang di rumahnya sementara sebelum melarikan diri ke Indonesia.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.

Terdahulu, Ruzanna memohon mahkamah meringkan hukuman kerana kes tersebut merupakan kesalahan pertama tertuduh, selain dia tidak mempunyai rekod jenayah.

Sementara itu, Zulfadzly pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh serius melindungi Long Tiger yang melarikan diri dari mahkamah dan membahayakan orang awam serta memberi kesan terhadap proses keadilan di mahkamah.

Pada 28 Disember tahun lalu, sepasukan polis Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor berjaya menahan Long Tiger di rumah seorang pondan di sebuah rumah di Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil di sini.

Long Tiger menjadi buruan polis Johor kerana melarikan diri dari Mahkamah Tangkak diberkas di rumah tersebut pada pukul 3.15 petang dan dia turut mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.