SHAH ALAM: Lebih RM39 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) diberikan kepada mangsa banjir gelombang pertama di seluruh negara setakat ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid berkata, bantuan tersebut diberikan secara berperingkat kepada semua mangsa banjir oleh pegawai bertanggungjawab pada setiap hari.
“Alhamdulillah, proses pemberian BWI di sini berjalan lancar walaupun ramai yang hadir untuk mendapatkan bantuan tersebut.
“Kita akan pastikan semua mangsa dapat dan mereka diberi tarikh janji temu untuk menerima bantuan, tetapi sekiranya terlepas kita akan usaha untuk kesan penerima,” katanya semasa meninjau proses pemberian BWI di balai raya Majlis Pengurusan Komuniti Malaysia (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, di sini, hari ini.
Hadir sama meninjau proses pemberian BWI adalah Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sejumlah 28,258 daripada 46,162 ketua isi rumah sudah menerima BWI.
Beliau berkata, bantuan ini dapat diberikan dengan lebih cepat disebabkan pemantauan yang dibuat pusat operasi (Command Centre) yang ditubuhkan Kerajaan Pusat, bulan lalu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, Mohd. Faizal Abd. Raji berkata, sejumlah RM2.304 juta Bantuan Selangor Bangkit (BSB) telah diberikan kepada 2,304 mangsa banjir di daerah Klang.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan akan memberikan RM4.5 juta BSB kepada 4,500 mangsa pada minggu ini.
“Kepada mangsa banjir yang masih belum dapat BSB, saya minta bersabar pengagihan sedang diusahakan.
“Kita akan berikan BSB kepada semua mangsa banjir yang telah mengisi borang bantuan yang diedarkan sebelum ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE










