Lebih 5.7 juta nama pengundi berusia 18 tahun ke atas dibuka untuk semakan - SPR - Utusan Malaysia

Lebih 5.7 juta nama pengundi berusia 18 tahun ke atas dibuka untuk semakan – SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan, senarai nama daftar pemilih tambahan bagi Disember 2021 kini dibuka untuk semakan selama enam bulan, mulai 14 Januari 2022 hingga 13 Julai 2022.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia setelah senarai itu diperaku dan diwartakan hari ini.

“Dokumen ini mengandungi nama bagi 5,718,760 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

“Bagi 25,220 pemilih berdaftar, mereka bertukar bahagian pilihan raya dan 9,293 orang pemilih lagi bertukar status atau kategori pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, SPR menyediakan empat kaedah semakan bagi DPT BLN12/2021 iaitu melalui Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my; atau https://mysprsemak.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Justeru, Ikmalrudin menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas sehingga 31 Disember 2021 dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Di samping itu, katanya, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan,” katanya.

Orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri jika ada sebarang pertanyaan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN