PADAWAN: Laluan utama antara Kampung Abang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kembug, 60 kilometer di Ulu Padawan, kini boleh dilalui kenderaan setelah berdepan kejadian tanah runtuh semalam.
Penduduk di tujuh buah kampung di Ulu Padawan lega dan memuji tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan CMS Road Maintenance kerana bertindak cepat mengalihkan tanah susur yang menimbus jalan utama berkenaan petang semalam.
Apabila kejadian tanah runtuh itu berlaku ada pukul 4.30 petang semalam, penduduk kampung segera menghubungi Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil, yang masing-masing segera menghubungi pihak JKR dan agensi terlibat untuk mengambill tindakan segera.
Siasatan JKR Bahagian Kuching mendapati, punca runtuhan disebabkan hujan lebat yang agak lama mengakibatkan struktur tanah menjadi lembut dan menyebabkan tanah susur.
Ini menyebabkan jalan utama tersebut terhalang oleh runtuhan tanah dan pokok sehingga tidak dapat dilalui oleh kenderaan.
“Jalan tersebut dapat dilalui oleh kenderaan bermula pada pukul 11 malam tadi walaupun kerja-kerja pembersihan jalan masih diteruskan dan pemandu kenderaan dinasihatkan agar berhati-hati semasa menggunakan laluan tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JKR Bahagian Kuching, CMS Road Maintenance dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) atas tindakan pantas mereka memulihkan keadaan sehingga tengah malam tadi,” kata Willie ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE










