MELAKA: Seorang lelaki sempat menjerit meminta tolong sebelum lemas dibawa arus di Sungai Malim di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan pada pukul 10.30 pagi oleh pasukan bomba.
Katanya, terdapat saksi yang melihat kejadian tersebut dan mendakwa mendengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum tenggelam dibawa arus.
“Ketika kejadian saksi tersebut sedang memancing dan ternampak si mati berjalan turun ke tebing sungai tersebut. Mangsa bagaimanapun dipercayai tergelincir dan sempat menjerit meminta tolong sambil tangan terkapai-kapai sebelum tenggelam dibawa arus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, saksi tersebut kemudian membuat panggilan kecemasan kes orang hanyut pada pukul 8.20 pagi.
“Soal siasat dilakukan, dia (saksi) tidak pasti mengapa si mati turun ke tebing sungai, namun sebelum kejadian mangsa dilihat mundar-mandir di kawasan tersebut. Mayat mangsa yang dipercayai berusia 30-an ditemukan pasukan bomba kira-kira 15 meter dari tebing sungai,” katanya.
Jelasnya, pemeriksaan fizikal ke atas mayat yang lengkap memakai kemeja-T dan seluar jeans tidak menjumpai apa-apa unsur jenayah.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.










