Kumpulan Tiro mahu ada sitkom sendiri - Utusan Malaysia

Kumpulan Tiro mahu ada sitkom sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Dinobatkan sebagai juara menerusi program Maharaja Lawak Mega 2021, kumpulan Tiro yang dianggotai oleh Sharif, Syaiful dan Danial Zaini, menyasarkan misi untuk mempunyai program sitkom sendiri.

Menurut Sharif, ketiga-tiga mereka yakin dan bersepakat untuk merancang memulakan sebuah sitkom sebagaimana yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Senario dan Sepahtu sebelum ini dalam usaha menghiburkan peminat di negara ini.

“Kami memang ada beberapa perancangan terutamanya untuk mempunyai sitkom sendiri bagi menghiburkan peminat lawak di negara ini.

“Kita pernah mempunyai beberapa sitkom yang sangat menarik sebelum ini dan kami sepakat untuk menghidupkan kembali rancangan seperti itu,” katanya.

Sharif berkata sitkom itu juga bakal membabitkan rakan-rakan pelawak yang lain untuk bersama-sama kumpulan Tiro.

Selain itu, Danial juga bersetuju dengan perkara ini dan pada masa sama gembira kerana Tiro terus mendapat sokongan peminat selepas kejayaan yang dikecapi sebelum ini.

Katanya, melalui program berbentuk sitkom, lebih banyak karya daripada kumpulan itu dapat dikongsikan bersama dan mampu menjadi hiburan sekeluarga.

Danial menambah mereka juga dalam perancangan untuk merakamkan single sulung kumpulan berkenaan.

“Idea rakam lagu ini tercetus bila kami buat muzikal komedi, jadi kami juga teringat momen lagu-lagu etnik yang pernah dirakam oleh senior kami seperti Senario.

“Jadi kami rancang untuk merakamkan lagu dengan konsep sama dengan elemen joget untuk peminat kami,” katanya.

Dalam pada itu, Sharif juga tidak menolak kumpulan asalnya iaitu kumpulan Zero yang menyaksikan gandingan adik-beradiknya, Syaiful dan Atu, masih lagi bergerak aktif namun permintaan kini lebih kepada Tiro.

“Zero masih ada dan tetap akan bersama. Zero dan Tiro akan berjalan seiring. Sebab masing-masing ada kekuatan.

“Dalam Tiro kami memang mahu Danial memainkan peranan utama dengan gandingan saya dan Melati (Syaiful) serta kami memilih lawak meniru gaya dan suara,”katanya.

Terdahulu, Tiro meraikan lebih 20 peminat kumpulan itu dalam satu majlis kesyukuran di Restoran Empangan Udang Galah di sini.

Pada majlis itu, hadirin diraikan dengan pelbagai juadah serta aktiviti cabutan bertuah serta bergambar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya