LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengenal pasti beberapa kawasan penempatan di luar bandar supaya dinaik taraf pelbagai infrastruktur bagi mengelakkan banjir berulang pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha kerajaan itu melibatkan tapak penempatan baharu, jalan raya, jambatan, dewan atau balai raya serta beberapa kemudahan lain.
“KPLB kini sedang memfokuskan pembinaan dewan atau balai raya dan bangunan tadika di kawasan luar bandar yang masih belum ada kemudahan itu untuk kegunaan sebagai pusat pemindahan banjir (PPS).
“Hal ini untuk mengelakkan mangsa banjir tidak perlu berpindah jauh termasuk kemudahan jalan rentas bagi kerja menyelamat ketika banjir melanda,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian 1,050 kit bantuan dapur masak, peralatan tidur dan makanan kepada mangsa banjir di tiga buah Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Lipis iaitu Padang Tengku, Cheka dan Benta di Dataran Tok Linggi Kampung Relong, di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, pengalaman mengurus dan membantu mangsa banjir di Lipis memberikan banyak pengajaran supaya dilaksanakan usaha menaik taraf kemudahan tersebut bagi persediaan bencana pada masa akan datang.
“KPLB akan meminta wakil rakyat dan Pejabat Daerah seluruh negara mengenal pasti kawasan baharu untuk penempatan serta kemudahan awam yang perlu dibina baharu atau dinaiktaraf bagi tujuan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, KPLB memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia bagi membina semula dan membaik pulih rumah
Beliau berkata, di bawah inisiatif itu, RM15,000 diperuntukkan untuk membaiki rumah, RM56,000 untuk bina semula di Semenanjung dan RM68,000 untuk bina semula kediaman di Sabah dan Sarawak.
“Sehingga kini, KPLB telah mengenal pasti 1,879 unit rumah yang perlu dibaik pulih dan 165 buah rumah pula mengalami kerosakan teruk dan perlu dibina baharu di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, penerima bantuan, Jamin Ngah, 75, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada KPLB di atas sumbangan kerana dapat meringankan beban perbelanjaan selepas banjir
“Ketika banjir melanda kampung saya di Seberang Jelai, kesemua pakaian dan peralatan rumah habis rosak ditenggelami banjir kerana air Sungai Jelai naik begitu pantas,” ujarnya.
Jelasnya, usaha murni kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat dipuji kerana membantu mangsa banjir di luar bandar yang rata-ratanya masih mengalami tekanan perbelanjaan selepas banjir surut. – UTUSAN
ABDUL Rahman Mohamad (berdiri, kiri) bersama Mustapa Long (kanan) menyampaikan bantuan peralatan dapur kepada seorang mangsa banjir di Dataran Tok Linggi Kampung Relong, Lipis, Pahang, hari ini. – FOTO/HARIS FADILAH AHMAD










