TEMERLOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Temerloh telah menjalankan pemeriksaan terhadap 12,957 premis dalam pelbagai operasi sepanjang tahun lalu.
Ketua Cawangannya, Abdul Razak Yahaya berkata, daripada jumlah pemeriksaan itu, 155 tindakan kes telah dihasilkan dan 93 kes telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.
Menurutnya, daripada 93 kes itu, 27 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, 11 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, sembilan kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, tujuh kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan masing-masing empat kes di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
“Secara keseluruhan jumlah nilai rampasan hasil daripada kes yang dihasilkan sebanyak RM162,151.58,” katanya di sini semalam.
Abdul Razak berkata, KPDNHEP Cawangan Temerloh juga telah mengambil lima tindakan kes di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, sebanyak RM101,000 nilai kompaun dikenakan terhadap peniaga yang melanggar perundangan dan Akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.
Tambah beliau, sepanjang tahun lalu juga, pihak KPDNHEP Cawangan Temerloh telah menerima sejumlah 167 aduan daripada pengguna dan kesemua aduan tersebut telah pun disiasat.
Beliau berkata, KPDNHEP Cawangan Temerloh telah menyelesaikan kes tertunggak di bawah Ops Rampung 2.0 bagi 2019 dan 2020 dengan pencapaian 100 peratus serta dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Tegasnya, usaha penguatkuasaan akan terus dijalankan selaras dengan misi “menguatkuasakan undang-undang ” demi mewujudkan peniaga beretika. – UTUSAN










