KPDNHEP Johor kesan 132 kes jual lebih harga kawalan - Utusan Malaysia

KPDNHEP Johor kesan 132 kes jual lebih harga kawalan

MOHD. Hairul Anuar Bohro (dua kanan) melakukan pemeriksaan bersama penguatkuasa KPDNHEP di sebuah pasar raya di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan kompaun keseluruhan berjumlah RM22,400 kepada peniaga di negeri itu sepanjang Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dilaksanakan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, dari awal tahun hingga semalam, sebanyak 8,165 pemeriksaan telah dijalankan melibatkan pengilang, pemborong serta peruncit di seluruh Johor.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 132 kes dilaporkan bagi kesalahan menjual lebih harga kawalan yang ditetapkan dan tidak mempamer tanda harga pada barang jualan.

“KPDNHEP telah melaksanakan SHMKM sejak 1 Januari lalu dan sedang berkuatkuasa sehingga 4 Februari ini bagi memastikan harga barangan di pasaran stabil dan berpatutan.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011),” katanya selepas melakukan pemeriksaan berkala di sini, hari ini. 

“Sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran semasa musim perayaan, kementerian melaksanakan Skim Harga Maksimum Tahun Baru Cina (SHMTBC) yang berkuatkuasa bermula 29 Januari sehingga 4 Februari ini.

“Sebanyak enam jenis barangan harga terkawal akan dikuatkuasa melibatkan barang keperluan harian dari kategori hasil laut, barangan kering dan daging babi menjadikan keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMKM dan SHMTBC 2022 adalah sebanyak 18 jenis barangan,” katanya. 

Kata beliau, pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dengan denda yang boleh dikenakan sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula membolehkan individu didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000. Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya