KL Thunder mahu mempertahankan kedudukan - Utusan Malaysia

KL Thunder mahu mempertahankan kedudukan

KUALA Lumpur Thunder mahu mengekalkan kedudukan tiga terbaik di STL 2021/22.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) Thunder menegaskan mereka mahu mempertahankan kedudukan tiga terbaik liga menjelang minggu terakhir dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa minggu depan.

Juara bertahan itu semakin mendapat rentak permainan musim ini apabila berjaya mengekalkan empat kemenangan berturut-turut sejak tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Guardians dan Penang Black Panthers.

Jurulatih pasukan, Rashidi Nordin berkata, pasukannya yang mahu mendapatkan dua kemenangan penting minggu depan bagaimanapun tidak memandang rendah ke atas kemampuan pasukan Negeri Sembilan Antlers dan Putrajaya Cyborg.

“Dalam mencari kemenangan, saya tidak mahu pasukan terlalu terburu-buru kerana saya melihat dua pasukan ini semakin meningkat naik dan mampu menghukum pasukan sekiranya kami leka membuat kesilapan mudah.

“Kami akan terus membuat persiapan bagi menghadapi minggu keempat kerana ianya amat penting bagi kami untuk mempertahankan kedudukan dalam liga sebelum STL berehat selama seminggu.

“Ketika ini, KL Thunder berada di tangga ketiga dan sekiranya kami dapat mengekalkan dua kemenangan pada minggu depan, Insha-Allah kedudukan liga akan berubah,” katanya kepada Utusan Malaysia kelmarin.

Mengulas lanjut, Rashidi berasa lega dengan kehadiran perejam pasukan, Azlan Alias yang telah pulih daripada kecederaan dan dia turut mengharapkan anak buahnya akan terus memberikan 100 peratus fokus kepada saingan STL.

“Setelah mendapat rawatan dan rehat secukupnya, Azlan sudah kembali pulih dan berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi semula dan saya berharap para pemain akan terus berusaha untuk meraih pelbagai kejayaan musim ini,” katanya.

Selepas pusingan pertama selesai, musim ini akan berehat selama seminggu sebelum pusingan timbal balik bersambung di tiga negeri iaitu bermula di Kelantan, Pulau Pinang dan Perak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.