PETALING JAYA : Tindakan dua hotel bajet di Subang Jaya menawarkan pakej khidmat seks dengan harga antara RM200 hingga RM270 terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen semalam.
Bayaran dikenakan itu adalah bagi tempoh masa 45 minit dan RM950 bagi langganan outcall bermula dari pukul 10 malam sehingga 7 pagi.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan dikenali Op Gegar itu dilakukan hasil maklumat diterima jabatan tersebut iaitu hotel berkenaan menyajikan pelacur wanita yang terdiri dari gadis Thailand.
Hasil serbuan kira-kira pukul 8.45 malam itu, sebanyak 14 individu warganegara asing yang terdiri daripada 12 orang wanita warganegara Thailand, Myanmar (seorang) dan lelaki warganegara Britain telah ditahan.
Turut ditemukan semasa serbuan sejumlah kondom dan cecair pelincir bagi tujuan layanan seks.
“Kesemu mereka yang ditahan berusia antara 21 sehingga 69 tahun selain tiga orang pelanggan lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.
“Operasi dijalankan serentak ke atas kedua-dua premis hotel bajet berkenaan dan asil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Khairul Dzaimee, pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan terlebih dahulu melalui laman sesawang dan aplikasi Telegram.
Malah, kata beliau, semasa serbuan, semua wanita warga asing tersebut tidak memberikan kerjasama dan enggan membuka pintu bilik.
“Terdapat juga wanita warga asing yang cuba membuat provokasi dan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri,”jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. -UTUSAN ONLINE