Ketua Wanita PBB sambut baik penubuhan sayap baharu untuk belia 18 hingga 28 tahun Sarawak - Utusan Malaysia

Ketua Wanita PBB sambut baik penubuhan sayap baharu untuk belia 18 hingga 28 tahun Sarawak

FATIMAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Penyertaan golongan belia berusia 18 hingga 28 tahun ke dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) nanti, apabila parti itu menubuhkan sayap baharunya bagi menerima ahli lingkungan usia tersebut sudah pastinya akan membawa kepada dinamik politik yang lebih progresif dalam parti berkenaan.

Ketua Wanita PBB,  Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penyertaan golongan itu boleh membantu dalam menerajui perubahan dan memulakan dasar baharu untuk kebaikan belia, parti dan negeri.

“Kami (Pergerakan Wanita PBB) mengalu-alukan pembentukan sayap baharu itu untuk menempatkan golongan berusia 18 hingga 28 tahun yang keperluan dan minat mereka mungkin tidak sama dengan golongan yang lebih berumur,” katanya.

Ujar Fatimah, cadangan pembentukan sayap baharu ini juga selari dengan dasar Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menitik beratkan inklusiviti.

Menurut Fatimah lagi, sayap belia yang dicadangkan penubuhannya nanti adalah lebih luas kerana ia akan merangkumi kedua-dua gender yang berusia 18 hingga 28 tahun.

Fatimah menambah, menyedari kepentingan untuk menarik penyertaan belia dalam Pergerakan Wanita parti itu, pihaknya telah menubuhkan Kumpulan Beliawanis seawal 2019 di beberapa cawangan PBB.

Beliau berkata, bengkel untuk mendengar pendapat, luahan hati belia, diikuti pendedahan kepada pelbagai aktiviti sosial, (tidak semestinya politik) telah memberi ruang dan peluang kepada golongan belia untuk terlibat secara langsung dalam merancang dan mengelola aktiviti untuk masyarakat setempat.

“Strategi mentor – mentee antara beliawanis dan ketua wanita cawangan digunakan bagi membina upaya dan memperkasa beliawanis,” katanya.

Semasa pandemik Covid-19, beliau berkata, di beberapa cawangan PBB beliawanis juga dilibatkan dalam tugas pengagihan bantuan makanan kepada kumpulan sasar.

“Semasa pilihan raya negeri baru-baru ini ada di antara mereka telah membantu dalam program jangkauan luar (reachout) kepada pengundi melalui platform sosial media,” katanya.

Malam tadi Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden PBB berkata, parti itu akan meminda perlembagaannya bagi mewujudkan sayap baharu buat golongan belia berumur 18 hingga 28 tahun.

Abang Johari berkata, penubuhan sayap itu dibuat bagi memberi peluang kepada golongan tersebut untuk bersama-sama berkhidmat kepada kesejahteraan negeri Sarawak.

Menurut Abang Johari, pindaan perlembagaan parti itu akan dilakukan pada Mesyuarat Agung Triennial (TGM) parti yang dijadual diadakan Jun depan bagi membolehkan penubuhan sayao baharu itu nanti.

Buat masa ini PBB ada sayap wanita dan pemuda.

“PBB adalah parti yang dinamik, kita juga mendengar aspirasi golongan muda dan kita akan sesuaikan kepada keadaan politik semasa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di sini malam tadi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya