GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya tidak memberhentikan kenderaan masing-masing di bahu Jalan Berkembar, Jalan Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Selain itu, MBPP menerusi kenyataannya menyeru pengguna jalan raya menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata di kawasan itu.
“Pengguna jalan raya itu diseru menjadikan tabiat membuang sampah di tempat yang betul sebagai sebahagian daripada amalan dan etika yang boleh dibanggakan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sebelum ini tular di dalam media sosial situasi di Jalan Bukit Kukus yang dipenuhi sampah-sarap akibat dibuang pengguna jalan raya yang berhenti untuk berswafoto di situ.
Laluan itu adalah alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung dengan kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya serta baru dibuka kepada umum 13 Januari lalu.
Lebuh raya yang memiliki rekod jalan tertinggi di negara ini pada paras 61.5 meter itu kini menjadi tumpuan orang ramai yang sewenang-wenangnya memberhentikan kenderaan di bahu jalan raya untuk menikmati pemandangan dan berswafoto.
Situasi itu mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak khususnya pengguna jalan raya lain yang bimbang terhadap aspek keselamatan terutama boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.
Dalam pada itu MBPP menerusi kenyataan itu berkata, para petugas pembersihan telah dikerahkan untuk membersihkan segera sampah sarap yang telah dibuang sewenang-wenangnya di Jalan Bukit Kukus semalam.
“MBPP berasa kesal dengan sikap sesetengah para pengguna jalan raya yang tanpa segan silu membuang sampah keluar dari kenderaan semasa memandu.
“Ada juga sikap yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keselamatan dengan memberhentikan kenderaan di bahu Jalan Bukit Kukus untuk berswafoto pemandangan indah dan meninggalkan sampah-sarap,”katanya.
Tambahnya, kelakuan seumpama itu seolah-olah tidak menghormati keindahan alam sekitar dan juga keselesaan para pengguna jalan raya yang lain. -UTUSAN ONLINE