KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) ingin mengukuhkan kedudukan parti di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu sebelum mengambil kira sebarang langkah bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang.
Itu pendirian Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai hasrat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan semua parti pembangkang bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, bagi Warisan, apa yang penting adalah memperkuatkan dahulu parti yang baharu sahaja melebarkan sayap ke Semenanjung.
“Kita perkuatkan dahulu rumah kita bagi memberi pilihan kepada semua rakyat Malaysia sebelum mengambil kira usaha bekerjasama dengan mana-mana pihak. Kita lihat rumah kita dahulu baru tengok rumah orang lain.
“Kita belum memutuskan bagaimana untuk maju tapi, kita mahu memberi pilihan kepada rakyat Malaysia. Sebelum ini saya sudah bergabung dengan semua pihak dan bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
“Selepas keluar daripada UMNO, saya bergabung semula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam PH bersama dengan Anwar, Lim Guan Eng dan Lim Kit Sing jadi, saya sudah mengalami semua gabungan,” katanya semasa sidang akhbar selepas program jangkauan luar (walkabout) Tahun Baharu Cina di Pasar Pekan Inanam hari ini.
Menurutnya, beliau sudah menyertai 17 pilihan raya di Semenanjung semasa berada dalam Barisan Nasional (BN) seperti di Johor, Pulau Pinang dan Kelantan maka, beliau tahu keadaan di situ.
“Jadi, apabila orang mengatakan Warisan tidak tahu apa berlaku di Semenanjung, keadaan di situ bukan asing bagi kita. Saya tahu macam mana kaedah dan pusat daerah mengundi (PDM) di sana. Biarpun bukan mudah tapi, kita kena buat kerana kita ada struktur dan kawan di sana.
“Saya sudah meminta kawan-kawan bergerak di Johor dan bulan depan saya akan ke sana untuk membuat pengumuman di situ,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, Warisan sudah meminta jentera di Johor untuk meneliti secara mendalam sebelum membuat sebarang pengumuman tentang keadaan di sana kerana banyak sangat pilihan raya iaitu di Melaka, Sarawak dan kemudian di Johor.
Mohd. Shafie berkata, beliau akan berbincang bersama Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang keadaan di Johor.
Katanya, beliau akan meneliti kawasan yang berpotensi dan kemudian berbincang bersama Muda tentang hala tuju di Johor kerana Muda dipimpin oleh Syed Saddiq iaitu pemimpin yang datang dari Johor.
Pada Isnin, Anwar berkata, PH berhasrat untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang lain termasuk Warisan bagi menghadapi PRN Johor. Strategi itu dilihat mampu mengalahkan BN/UMNO yang begitu yakin mampu menang dengan majoriti besar pada PRN Johor.- UTUSAN ONLINE