Kerana gian, sanggup heret anak usia 8 tahun masuk 'port' dadah ladang sawit - Utusan Malaysia

Kerana gian, sanggup heret anak usia 8 tahun masuk ‘port’ dadah ladang sawit

SUSPEK pengedar dan penagih dadah dibawa menaiki kenderaan polis dalam serbuan di sebuah 'port' ladang sawit sebuah Felda di Jerantut, Pahang. - FOTO IHSAN IPD JERANTUT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang lelaki tergamak membawa anaknya berusia lapan tahun memasuki sebuah ladang kelapa sawit yang dijadikan sebagai ‘port’ kerana terlampau gian untuk menagih dadah.

Akibatnya, suspek berusia 30-an diberkas sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) ketika Op Tapis Khas yang bermula pada 21 Januari sehingga hari ini.

Turut ditahan 31 suspek lelaki berusia antara 19 hingga 50 tahun yang diberkas di beberapa port berasingan di Felda, kampung dan pinggir bandar daerah ini.

Ketua Polis Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, perbuatan lelaki terbabit membawa bersama anaknya ke ‘port’ dadah adalah memalukan.

“Hal ini cukup memalukan berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Nampaknya pengedar serta penagih dadah masih tidak serik dan berani walaupun kerajaan sudah mengenakan undang-undang yang berat seperti hukuman mati dan penjara dalam tempoh yang lama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mazlan berkata, suspek yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Selain itu, tujuh suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 (lapan orang), Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang terbabit dengan air ketum (enam orang).

“Seramai 23 orang akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan seorang di bawah Seksyen 3(1), Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kerana suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini,” katanya.

Menurut Mazlan, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 10 gram, heroin (5.79 gram) dan air ketum (1.5 liter).

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Jerantut berterima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membawa penahanan 32 pengedar dan penagih sempena Ops Tapis Khas selama tiga hari ini.

“Kita berharap kerjasama ini berterusan orang ramai dapat membantu polis membanteras dadah dan sebarang maklumat jenayah boleh terus disalurkan ke IPD Jerantut menerusi talian 092662222 sambungan 262,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN