PUTRAJAYA: Kerajaan sedia membantu Nurul Jannah Abd. Hamid Khan, balu kepada anggota bomba, Mohd Firdaus Sulaiman yang terkorban ketika operasi memadam kebakaran sebuah kilang pada 11 Disember lalu membina rumah di kampung halamannya.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, sebelum ini Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) pernah menawarkan hasrat itu kepada Nurul Jannah dan masih belum menerima maklum balas darinya.
“Kerajaan menyediakan beberapa skim buat anggota bomba memiliki rumah di bawah projek perumahan kerajaan dan ia adalah antara usaha untuk menjaga kebajikan anggota bomba yang masih belum memiliki rumah sendiri,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Dan Keselamatan Keluarga Malaysia, hari ini.

Semalam, Nurul Jannah, 29, berkata, beliau dan keluarga akan memenuhi hasrat arwah suaminya, Mohd Firdaus untuk membina rumah di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah, Melaka.
Beliau yang ditemui ketika hadir menerima insentif dari JBPM pada Hari Perbarisan Tahunan 2022 JBPM di Putrajaya semalam berkata, rumah impian arwah itu akan dibina melalui sebahagian wang insentif yang diterima dan sebahagian lagi digunakan untuk pendidikan anak tunggal perempuan mereka, Aisy Alisha yang berusia tiga tahun.
Ismail berkata, beliau menyarankan Nurul Jannah membuat permohonan dan akan cuba membantu kerana insentif itu sememangnya disediakan bagi membantu anggota termasuk pesara JBPM.
Katanya,anggota JBPM juga akan diberi keutamaan untuk memohon mendapatkan mana-mana rumah yang dibina seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Ini adalah sebagai tanda penghargaan pembabitan mereka yang terdedah dengan pelbagai risiko bahaya,” katanya.
Mohd Firdaus Sulaiman, 32, dari Balai Bomba Dan Penyelamat, Bandar Baru Segamat, Johor terkorban ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu pada 11 Disember lalu.










