Kerajaan Malaysia perlu tuntut bot nelayan dirampas Indonesia - Utusan Malaysia

Kerajaan Malaysia perlu tuntut bot nelayan dirampas Indonesia

NG SUEE LIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan Malaysia digesa menuntut semula tiga buah bot yang dirampas pihak berkuasa Indonesia pada bulan lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, kerajaan dilihat membisu berhubung kes terbabit walaupun nelayan yang menjadi mangsa kejadian mendakwa mereka menangkap ikan dalam kawasan perairan negara.

“Saya berasa kesal kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Ronald Kiandee yang dilihat tidak bertindak berhubung perkara ini.

“Kerajaan sepatutnya menyiasat dakwaan kesemua nelayan ini dan sekiranya dakwaan mereka benar, kerajaan mesti segera menuntut kesemua bot ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada bulan lalu, Utusan Malaysia melaporkan 14 nelayan Malaysia ditahan manakala tiga bot mereka dirampas pihak berkuasa negara jiran kerana didakwa menangkap ikan di kawasan perairan negara itu.

Setiausaha Eksekutif Koperasi Nelayan Daerah Hilir Perak, Kee Jeh Hai berkata, kesemua tiga bot ini ditahan pihak berkuasa negara itu dalam tempoh tiga hari berturut-turut, iaitu dari 6, 8 dan 13 Disember di dalam perairan Perak dan Selangor.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya berbincang dengan Kerajaan Indonesia berhubung perkara ini, lebih-lebih lagi Malaysia dan Indonesia telah mempunyai memorandum persefahaman (MoU) Garis Panduan Bersama berkaitan aktiviti perikanan di kawasan maritim pertindihan di antara dua negara.

“Kerajaan kena selesaikan segera hal ini dan tidak boleh berlengah kerana sudah hampir sebulan kes ini berlaku,” katanya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN