MARANG: Pas sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti itu sekiranya gagal mencapai kata sepakat.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semua aspek melibatkan hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu.
Kata beliau, Pas mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru, namun mengakui tahap kesabaran parti itu ada batasnya.
“Kita akan kaji satu persatu apa yang akan berlaku selepas ini. Semua aspek akan dilihat termasuk kesan positif dan negatif terhadap kerjasama sedia ada.
“Kita sabar, kita tidak kecewa tetapi sabar ada batas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd. Syahir Che Sulaiman.
Mengulas kemungkinan Pas atau PN bergerak tanpa Bersatu pada PRU16, Abdul Hadi berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan kerana banyak kemungkinan boleh berlaku dalam politik.
“Itu satu kemungkinan yang belum boleh dijawab kerana belum berlaku lagi. Politik ini banyak kemungkinan,” katanya.
Beliau turut membayangkan rasa kurang senang terhadap tindakan Bersatu yang didakwa meletakkan terlalu ramai calon dalam pilihan raya sebelum ini, namun gagal menyediakan jentera dan petugas mencukupi ketika berkempen.
“Kadangkala mereka banyakkan calon tetapi apabila turun ke medan, petugas sedikit sangat. Akhirnya ahli Pas juga yang bekerja,” katanya.
Kata beliau, Pas tidak akan tunduk kepada kehendak mana-mana pihak dalam menentukan hala tuju parti berkenaan menjelang pilihan raya.
Katanya, Pas telah menghantar surat kepada Bersatu dan perkara berkaitan kerjasama itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat PN baru-baru ini.
“Kita sudah berbincang dengan Bersatu dalam PN, namun kita tidak menetapkan tempoh tertentu, sebaliknya menugaskan jawatankuasa berkaitan untuk mengkaji semua tindakan negatif dan positif,” katanya.
Abdul Hadi bagaimanapun yakin kemelut hubungan antara Pas dan Bersatu tidak menjejaskan kekuatan PN menghadapi pilihan raya akan datang.
“Pas tidak terjejas dan kita bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan Pas akan kembali bekerjasama dengan UMNO ketika parti itu masih menjalinkan kerjasama dengan DAP.
“Tidak ada kerjasama dengan UMNO. UMNO sekarang bergabung dengan DAP dan PKR,” katanya.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan sebarang bentuk kerjasama politik pada masa depan sekiranya berlaku perubahan landskap politik.
“Itu akan dilihat kemudian, belum boleh buat keputusan lagi,” katanya. – UTUSAN









