Kerajaan beri subsidi pastikan harga barangan terkawal - Utusan Malaysia

Kerajaan beri subsidi pastikan harga barangan terkawal

ISMAIL Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Mengenai Pengeluaran Makanan di Putrajaya. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal sebagaimana Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang akan berakhir 4 Februari nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perincian subsidi itu akan dilakukan Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara diketuai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil.

Perkara tersebut antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan untuk membincangkan isu bekalan dan pengeluaran makanan terutama bagi ayam dan telur ayam.

Selain itu kata Ismail Sabri, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan sekarang menjadi RM8.90 manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

“Pelaksanaan kedua-dua harga ini bermula 5 Februari sehingga 5 Jun depan. Di samping itu, permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini yang hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain. Mesyuarat turut bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar.

“Kerajaan dalam masa yang sama akan mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, koperasi yang terlibat dalam industri pertanian akan turut dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah bagi mengawal harga.

Katanya, langkah-langkah jangka panjang turut dibincangkan antaranya mencadangkan kerajaan negeri memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian.

“Jaminan bekalan makanan bukan hanya mencukupi tetapi kemampuan Keluarga Malaysia untuk membeli. Pelan tindakan jangka panjang ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat NACCOL akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut meminta Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya