Kerajaan beri ruang semua calon kempen di RTM

Semua calon PRN Johor boleh berkempen di RTM

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan sedia memberi ruang kepada calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk daripada parti pembangkang untuk berkempen menerusi pelbagai saluran milik Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu bertujuan untuk melengkapkan proses demokrasi dengan memberi ruang sama adil kepada semua pihak.

Menurut beliau, tindakan sama turut dilaksanakan dalam PRN Melaka tahun lalu dimana bukan sahaja calon pembangkang, tetapi calon bebas turut diberi ruang.

“Boleh, termasuk juga calon parti pembangkang selagi mana ianya tidak disalahgunakan dan atas usaha melengkapkan proses demokrasi menjadikan negara kita mengamalkan demokrasi matang.

“Dalam pilihan raya, semua calon adalah sama. Ketika PRN Melaka lalu, semua calon termasuk bebas bukan sahaja pembangkang turut diberi ruang untuk mereka perkenalkan diri..

“Ini bagi membolehkan rakyat mengenali mereka kerana rakyat berhak tahu siapa calon mereka sebelum membuat keputusan mengikut pilihan sendiri, jadi tidak timbul masalah daripada segi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program temubual bersama radio Johor.fm di pejabat RTM Johor, di sini hari ini.

Tambah beliau, langkah itu juga selari dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi melawan penularan pandemik Covid-19 yang masih wujud dalam negara ketika ini.

Sementara itu, Annuar turut menasihati semua pihak yang bertanding termasuk kepimpinan parti masing-masing untuk tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak.

“Kalau boleh semua pemimpin tidak terlalu banyak membuat kenyataan menyinggung mana-mana pihak, saya tidak tujukan pada sesiapa tetapi lagi kurang kenyataan-kenyataan yang boleh merenggangkan dibuat adalah lebih baik,” jelasnya.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×