JIka BN menang PRN Johor ia isyarat kebangkitan - Utusan Malaysia

JIka BN menang PRN Johor ia isyarat kebangkitan

AHMAD Zahid Hamidi bersama Mohamad Hassan dan pimpinan UMNO lain selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Utama UMNO, MCA dan MIC Johor di Pejabat UMNO Johor, Johor Bahru di sini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jika Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, ia akan memberi isyarat kebangkitan gagasan tersebut  untuk kembali mengemudi pentadbiran negara pada masa hadapan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, itu adalah intipati amanat yang disampaikan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam pertemuan bersama komponen BN Johor, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, jentera parti perlu bergerak seiring bersama parti komponen untuk mendekati pengundi dalam usaha memenangkan parti pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi. 

“Ini kerana komposisi kaum di Johor adalah pelbagai dan berbilang seperti mana komposisi kaum di seluruh Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kemenangan besar UMNO dan BN pada PRN Johor akan beri mesej dan isyarat terhadap keupayaan parti bagi menghadapi PRU nanti.

“Oleh sebab itulah Presiden menekankan mesej supaya UMNO dan BN memerlukan sokongan semua kaum bagi memastikan kemenangan besar parti sekali gus memberi isyarat kebangkitan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pertemuan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dengan komponen BN Johor, di sini hari ini.

Usai pertemuan itu, Ahmad Zahid dilihat  meninggalkan Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu tanpa menghadiri sidang akhbar.. 

Difahamkan, Ahmad Zahid akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas pertemuan terbabit.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Presiden parti turut memberi tumpuan kepada gerak kerja jentera yang akan digerakkan supaya lebih berfokus dan seiring dengan jentera parti komponen.

“Gerak kerja jentera yang lebih berfokus amat penting supaya kerjasama antara parti dilakukan sebagai BN bukannya setiap parti secara bersendirian.

“Oleh itu amat penting jentera parti dilihat secara bersepadu dan sebagai BN supaya masyarakat berbilang kaum akan menyokong kita sekali gus memberi kemenangan yang besar,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN