Kelibat pak belang di tepi pagar Sekolah Kebangsaan Balar - Utusan Malaysia

Kelibat pak belang di tepi pagar Sekolah Kebangsaan Balar

Kelibat harimau belang yang berada di luar pagar sempat dirakam seorang guru Sekolah Kebangsaan Balar di Kampung Perawas Pos Balar Gua Musang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di pedalaman daerah ini semakin resah dengan ancaman harimau belang apabila haiwan itu semakin kerap dilihat berkeliaran di sekitar Kampung Perawas, Pos Balar dekat sini.

Terbaharu, kelibat Pak Belang yang sedang memerhati dari luar pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Balar dirakam oleh seorang guru lelaki menggunakan telefon bimbit, kira-kira pukul 3 petang semalam.

Difahamkan, harimau terbabit bukan sahaja ‘tidak kisah’ aksinya dirakam, malah turut mundar-mandir di luar pagar sekolah tersebut seolah-olah sedang mencari jalan untuk masuk ke dalam.

Penduduk di Pos Balar, Kamal Alek, 36, berkata, selepas kejadian itu, penduduk Pos Balar berada dalam ketakutan dan rata-rataq mereka tidak keluar rumah untuk melakukan aktiviti di kebun hari ini.

“Kami terkejut apabila melihat gambar harimau belang yang bersaiz besar dirakam guru SK Balar. Nampaknya harimau itu sudah sampai di kampung kami.

“Diharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan segera mengambil tindakan dengan memasang perangkap di kampung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya sudah menerima aduan terbaharu berkaitan harimau belang daripada penduduk Kampung Pos Balar, semalam.

“Pihak kami masih belum dapat memastikan adakah harimau belang itu daripada kumpulan sama dengan harimau yang mengancam penduduk di Pos Bihai baru-baru ini. Anggota Perhilitan sudah berada di lapangan bagi membuat siasatan lanjut,” katanya.

Jumaat lalu, seorang lelaki suku kaum Temiar, Anek Along, 59, maut dibaham harimau ketika berada di belakang rumahnya di Pos Bihai dan susulan kejadian itu, harimau yang membahamnya ditembak mati oleh Perhilitan Kelantan.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya