PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menaik taraf kelayakan pendidikan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan itu membabitkan kira-kira 11,000 guru yang mengajar di Tabika Kemas berkelulusan diploma dan dicadangkan ditingkatkan pendidikan ke taraf ijazah.
Beliau berkata, cadangan itu juga bertujuan memberi satu lonjakan baharu dalam pendidikan Tabika Kemas dan taraf pendidikan guru ditingkatkan ke taraf ijazah dengan mengekalkan guru sedia ada untuk menyambung pendidikan.
“Sekarang ini, silibus Tabika Kemas dan Kementerian Pendidikan sama, cuma guru yang ada di Kemas adalah kelulusan diploma.Tetapi tidak bermakna guru di Tabika Kemas yang sedia dibuang, namun mereka peluang ambil ijazah sarjana muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB di sini, hari ini.
Mahdzir berkata, pelaksanaan perkara itu akan dibuat secara berperingkat dan ia sedang diselaraskan KPLB meliputi beberapa faktor antaranya kewangan dan perjawatan. – UTUSAN ONLINE










