Kelantan sudah terima bayaran RM400 juta hasil petroleum - Utusan Malaysia

Kelantan sudah terima bayaran RM400 juta hasil petroleum

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan wang hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan untuk 2020 dan 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bayaran itu masing-masing melibatkan RM200 juta untuk 2020 manakala jumlah sama bagi tahun lalu.

Menurutnya, pembayaran itu diberikan secara langsung kepada kerajaan negeri berdasarkan lima peratus pengeluaran medan hasil petroleum yang berdekatan Kelantan.

“Jumlah pembayaran yang disalurkan kali ini meningkat berlipat kali ganda berbanding pada 2019 dengan jumlah yang diberikan sebanyak RM28 juta.

“Pembayaran itu 100 peratus disalurkan kepada kerajaan negeri bergantung kepada harga semasa petroleum,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Bajet 2022 Bersama Penjawat Awam Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Sebelum ini, media melaporkan Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, Tengku Zafrul berkata, ini kerana, kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Bagaimanapun katanya, memandangkan lokasi medan petroleum adalah berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN