Kekuatan Warisan boleh dinilai selepas PRU-15 - Utusan Malaysia

Kekuatan Warisan boleh dinilai selepas PRU-15

ROMZI ATIONG dan TONY PARIDI BAGANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Masih terlalu awal untuk menilai kekuatan Parti Warisan (Warisan) di Semenanjung walaupun ahli jawatankuasa penaja mula ditubuhkan di beberapa negeri.

Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, penyertaan bekas-bekas pemimpin dan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) ke dalam Warisan hanya sekadar satu proses politik biasa di bawah prinsip demokrasi.

Jika dilihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) masih lagi antara parti yang signifikan pengaruhnya di Semenanjung. Namun, penyertaan ahli-ahli DAP ke dalam Warisan tidak cukup untuk menggambarkan kekuatan Warisan di Semenanjung.

“Sama ada Warisan kuat atau tidak di Semenanjung, hanya dapat diketahui selepas pilihan raya. Jika mereka mampu meraih kemenangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengenai kedudukan Warisan di Sabah yang didakwa semakin goyah, Dr. Romzi berkata, perkara itu boleh dinilai oleh kepimpinan parti sendiri.

Beliau yakin kepimpinan Warisan mempunyai tanggungjawab untuk menilai sejauh mana status kekuatan dan sokongan rakyat terhadap parti itu di Sabah.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan kemasukan bekas ahli-ahli DAP ke dalam Warisan di Semenanjung Malaysia sebagai satu kejayaan.

Namun, langkah Warisan melebarkan sayap parti ke Semenanjung mewujudkan satu naratif politik baharu yang membawa angin daripada Malaysia Timur atau Sabah.

“Walau bagaimanapun dari segi sokongan pemimpin Cina di Semenanjung, pemimpin dan penyokong kuat Pakatan Harapan (PH) dan DAP tidak mudah untuk beralih sokongan.

“Sekiranya mereka ingin beralih sokongan daripada DAP kepada Warisan sekali pun banyak faktor akan dipertimbangkan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, sebahagian penyokong PH/DAP mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menilai perkembangan yang signifikan mengenai sokongan Warisan di Semenanjung Malaysia.

Perkara itu akan menjadi pertimbangan untuk penyokong mereka kekal bersama parti mahupun beralih sokongan terhadap Warisan.

Pada Isnin, Koordinator Warisan Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun mengeluarkan kenyataan bahawa lebih ramai pemimpin DAP dan ahli korporat di Pulau Pinang dijangka menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam masa terdekat. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN